Golek Lengo (Kuih Bom) Inti Kacang Hijau
Bahan Doh:
2 cawan tepung pulut
2 sudu besar tepung gandum
Sedikit garam
3/4 -1 cawan air
Bijan secukupnya - untuk salut
Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung gandum dan garam. Bancuh dengan air sedikit sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan. Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung beras pulut setiap kali memasukkannya.
Inti Kacang Hijau:
250gm kacang hijau - rendam
1/2 cawan gula merah/gula melaka di racik halus - guna 1 kpg gula Melaka
1 cawan gula pasir
1/2 cawan kelapa parut muda
3 sudu besar tepung gandum
Cara membuat Inti:
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering.
Masukkan kelapa, gula melaka dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula.
Tabur tepung gandum dan kacau rata. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat.
Nota:
Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih gulung, koci dsb.
Cara membuat kuih bom:
Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti kacang hijau yang telah di kepal bulat bulat tadi.
Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas.
Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri.
Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.
Boleh simpan di dalam freezer jika ada baki kuih bom.
Sumber : Azie Kitchen
Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng selepas buat....kuih bom anda akan mengelembung dan pecah (tersengih dan keluar inti) serta 'meletup'. Kuih anda tidak cantik dan ia jugak tidak garing.
Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.....buat pagi dan goreng petang. Ini sahaja rahsianya.
Jangan terlebih rehat pulak....macam kuih bom saya kat atas tu. Buat malam hari tapi biarkan seharian maka tepung terasa masam sikit dan bentuknya dah tak bulat cantik.